Bomba ambil masa tiga jam padam kebakaran di pusat lupus sampah - Utusan Malaysia

Bomba ambil masa tiga jam padam kebakaran di pusat lupus sampah

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah di Kampung Paya Rawa, Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memadamkan kebakaran di sebuah pusat pelupusan sampah di Kampung Paya Rawa, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang tadi.

Susulan itu, menurutnya, sebanyak 13 anggota serta pegawai bersama sebuah jentera dan treler air mini digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran ini melibatkan seluas 0.6 hektar daripada enam hektar tapak pusat pelupusan sampah tersebut

“Bomba berjaya menyelamatkan 5.4 hektar daripada merebak terbakar yang dikhuatiri akan mengambil masa lama untuk dipadamkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Rawa di sini, petang ini.

Jelasnya, kebakaran tersebut dikatakan berlaku disebabkan faktor semulajadi iaitu cuaca panas selain sisa sampah menerima haba terlalu tinggi sehingga mencetuskan api.

Menurut beliau, usaha mengawal kebakaran bagaimanapun berdepan kesukaran ekoran sumber air yang agak jauh dari lokasi selain faktor timbunan sampah yang tebal dan cuaca kering.

Bagaimanapun tambahnya, kebakaran berkenaan dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dengan tindakan pantas pihak bomba dan dibantu oleh pihak syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Majlis Daerah Besut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN