LIPIS: Tabiat membuang sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) antara Kechau-Merapoh, dekat sini seolah-olah sukar dikikis pengguna jalan raya itu yang masih melakukan perbuatan buruk berkenaan setiap kali musim perayaan.
Tinjauan Utusan Malaysia sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha di kawasan laluan berdekatan Kechau dekat sini, kelmarin mendapati, sampah-sarap seperti bungkusan plastik, polisterin, cebisan tisu, lampin pakai buang, kotak dan puntung rokok boleh dilihat sepanjang laluan sejauh kira-kira 50 kilometer.
Seorang penduduk Kechau, Ismail Mat berkata, walaupun nampak sedikit berkurangan sampah-sarap ketika perayaan kali ini tetapi penduduk berdepan suasana sama kerana masih ada sampah dibuang sepanjang LTU sejak kelmarin.
“Laluan di kiri dan kanan laluan kelihatan deretan sampah-sarap sepanjang jalan dan sudah tentu mencerminkan imej yang kurang sihat berikutan pencemaran bahan buangan.
“Situasi ini berpunca kawasan Rawat dan Rehat (R&R) yang dibina sementara berdekatan Kechau Tui jarang disinggah kenderaan kemungkinan tidak selesa khususnya bagi kemudahan untuk bayi, kanak-kanak dan warga emas menyebabkan pengguna jalan raya meneruskan perjalanan dan singgah di sebuah stesen minyak.
“Selain itu adalah sikap pengguna jalan raya ini sendiri yang tidak berubah dengan membuang sampah merata-rata,” katanya di Kechau, semalam.
Katanya, walaupun tong sampah disediakan di sepanjang laluan LTU itu, segelintir pengguna jalan raya masih enggan menggunakan kemudahan tersebut.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya dikenali sebagai Neena berkata, setiap kali berkenderaan ke Kelantan melalui LTU Kechau – Merapoh, suasana sama iaitu deratan sampah dilihat sepanjang laluan itu.
“Sikap ini mungkin berlaku dalam kalangan segelintir pengguna jalan raya yang gemar berbuat demikian ketika ribuan kenderaan bersesak di jalan ini sebelum dan selepas perayaan,” katanya. – UTUSAN










