PETALING JAYA: Hasrat penyanyi, Bob Yusuf untuk bertemu dengan Datuk Hail Amir tidak kesampaian apabila selebriti popular era 70-an itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
Bob yang sudah mengenali arwah secara dekat sejak 18 tahun lalu sepatutnya mengunjungi penyanyi itu esok memandangkan jadual kerja yang padat hari ini.
“Allahuakbar, saya baru tahu tentang perkara ini. Sebentar tadi saya cakap dengan pengurus untuk sama-sama melawat datuk (Hail Amir) besok.
“Kami tahu keadaan datuk sudah kritikal. Sekarang saya sangat terkilan, tidak tahu bagaimana mahu ungkapkan.
“Sepatutnya kami pergi ke Hospital Kuala Lumpur hari ini namun ada tiga mensyuarat berturut-turut membuatkan kami tidak sempat ke sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bob berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah adalah setahun lalu semasa Konsert Raya Sepanjang Zaman anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
“Waktu itu pun dia sudah sakit-sakit dan mula lupa beberapa bahagian dalam lagu. Jadi ketika itu saya cuba bantu. Pendek kata, kami saling bekerjasama menjayakan persembahan.
“Walau dalam keadaan begitu, beliau sangat berdisiplin dan ceria.
“Dia sudah diibaratkan seperti seorang bapa yang suka menyakat dan bergurau senda,” katanya.
Terdahulu, Hail Amir disahkan meninggal dunia akibat jangkitan baru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 3.48 petang tadi.
Sebelum ini, penyanyi itu dimasukkan ke HKL selepas mengalami masalah batuk berterusan.










