Bina penempatan haram atas tanah milik kerajaan, 124 warga asing digempur

Pihak berkuasa gempur “bandar” penempatan haram di tengah KL

PATI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan majoriti etnik Rohingya membuka penempatan setinggan secara haram di atas tanah milik kerajaan di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke), Sentul terbongkar selepas kawasan itu digempur pihak berkuasa awal pagi tadi.

Tanah yang tidak digunakan itu turut dibina sekitar 20 hingga 30 buah rumah pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak empat tahun lalu.

Lebih memeranjatkan, lokasi itu bukan hanya dijadikan tempat tinggal, malah serbuan berjaya membongkar operasi lima kedai runcit yang turut menjual minyak masak paket bersubsidi.

Bukan itu sahaja, PATI yang ditahan turut berani membina reban ternakan haiwan seperti itik dan ayam dipercayai untuk menyara komuniti mereka.

Seorang etnik Rohingya dikenali sebagai Amir berkata, dia membayar sewa sebanyak RM300 untuk sebuah bilik daripada warga tempatan setiap bulan.

Tambahnya, tempat tersebut didiami selepas dipelawa oleh rakan senegaranya yang juga bekerja di kawasan berdekatan.

“Sudah 10 tahun di Malaysia, sekarang sudah kahwin dan ada tiga orang anak, kerja terpaksa ambil upah cuci pinggan RM50 sehari, dulu ada kerja tukang cuci gaji RM1,000 tapi sudah kena berhenti,” katanya.

Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam dan berakhir pada pukul 2.30 pagi dilakukan secara bersepadu dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan dilakukan membabitkan 124 warga asing yang berasal dari Myanmar, Indonesia dan India.

“Daripada jumlah ini, 95 dari Myanmar, termasuk 14 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan bersama ibu mereka, dan kami percaya majoriti berketurunan Rohingya. Ada juga tiga warga Indonesia bersama beberapa lagi belum dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 21 warga India yang baru pulang dari kerja namun mereka mempunyai permit kerja yang sah.

Tambah beliau, antara kesalahan utama dikesan ialah tidak mempunyai pasport, pas kerja tamat tempoh serta tinggal lebih masa. 

“Semasa pemeriksaan, kita turut menemukan lima kedai serbaneka yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat di dalam penempatan itu. Mereka menjual barangan seperti daun sirih dan barangan bersubsidi seperti minyak masak,” ujarnya.

Ruslin berkata, hasil siasatan awal, mereka mendakwa menyewa tempat itu daripada orang tempatan. 

“Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan agensi lain untuk mengenal pasti siapa yang menyewakan tanah ini, sedangkan tempat ini adalah bukan milik mereka. Jabatan Imigresen akan terus bekerjasama dengan agensi lain untuk menangani isu warga asing membanjiri ibu negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN