YAN: Rancangan membina sistem tren transit aliran ringan (LRT) di Langkawi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus membangunkan pulau peranginan popular negara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh berkata, pihaknya melihat sikap prejudis banyak pihak terhadap usaha itu hanya sekadar pandangan masing-masing.
“Sebenarnya itu adalah satu usaha yang baik daripada kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan satu syarikat untuk mengkaji sejauh mana kita boleh membina kemudahan di Langkawi iaitu salah satu daripada destinasi pelancongan dunia.
“Kami melihat ia satu usaha yang sangat baik, kalau ada orang nak kutuk atau merendah-rendah itu pandangan orang. Tetapi bagi kita ini adalah usaha bersungguh-sungguh daripada kerajaan negeri untuk membangun dan melakukan segala mungkin untuk mengangkat sektor pelancongan Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Mempelam Sala, di sini hari ini.
Kerajaan Kedah melalui anak syarikatnya, Permodalan Kedah Berhad (PKB) bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Korea Selatan untuk menjalankan kajian projek pembinaan LRT itu dalam tempoh enam bulan.
Rancangan kerajaan negeri itu bagaimanapun mengundang pelbagai pandangan daripada banyak pihak yang mengatakan bahawa ia satu idea yang tidak munasabah.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Salleh, pembinaan LRT tersebut juga jika menjadi realiti mampu menjadi daya penarik pusat pelancongan negara itu.
“Sebenarnya benda ini masih pada peringkat kajian kita tidak tahu apa hasilnya nanti, tetapi kalau ada LRT akan jadi daya tarikan untuk orang datang ke Langkawi.
“Kita mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat Korea ini. Ini adalah satu inisiatif di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan rakyat patut menyokong,” katanya. -UTUSAN










