Bimbang tebing terhakis ancam pengguna jalan raya

Bimbang tebing terhakis ancam pengguna jalan raya

KEADAAN jalan berdekatan Kampung Senginyeh, Jalan Kampung BATU-INAS, Kuala Pilah yang tebingnya sudah terhakis menghampiri jalan utama berkenaan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengguna jalan raya dan penduduk yang melalui jalan berdekatan Kampung Senginyeh, di sini, bimbang apabila tebing terhakis sudah menghampiri jalan berkenaan.

Jalan berkenaan merupakan jalan utama Kampung Batu (Rembau) – Inas (Kuala Pilah) dan bilangan trafik yang melaluinya mencatat ratusan kenderaan setiap hari.

Menurut salah seorang pengguna jalan raya, Izwan Sharif, 45, dia sering menggunakan laluan tersebut untuk berulang-alik dari Rembau ke Bahau, Jempol dan terkejut apabila laluan sempit sebaik melalui lokasi tersebut.

“Rupanya penghadang yang diletakkan di atas jalan adalah disebabkan tebing jalan sudah terhakis menghampiri jalan. Bahaya juga kerana laluan ini adalah selekoh lebih-lebih lagi jika bertembung dengan kenderaan berat.

“Saya harap agar laluan ini dapat diperbaiki segera memandangkan bukan hanya penduduk di daerah Rembau, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin sahaja yang melaluinya bahkan dari negeri lain untuk ke Pantai Timur,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Inas, Mohd Zahairudin bin Mohammad berkata, kejadian tebing jalan berlaku selepas hujan lebat sejak pukul 4.30 pagi, Rabu lalu.

Menurutnya, kawasan tepi jalan berhampiran sudah dipenuhi air dan pembentung tidak mampu menampung jumlah air yang banyak berkenaan lalu berlaku runtuhan tebing.

“Jalan ini merupakan jalan pintas utama untuk mereka dari Seremban ke Dangi, Bahau bagi menggelak kesesakan jalan Bukit Putus di Kuala Pilah. Ahli Jawatankuasa JPKK kampung ini telah mengesan kejadian ini sekitar pukul 10 pagi.

“Beratus kenderaan guna jalan ini, lori besar dan bas juga melalui kawasan ini. Wakil rakyat setempat sudah meninjau lokasi ini dan mengetengahkan aduan ke pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, dia berharap agar masalah itu dapat dibaiki segera memandangkan hakisan makin melebar, penghadang jalan pula sudah tergantung dan pembentung juga sudah tejatuh.

“Kita bimbang jika keadaan ini mengundang kemalangan jalan raya ataupun kerosakan harta benda pengguna jalan raya,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN