PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman meminta masyarakat menghentikan tindakan mengecam artis-artis atau pempengaruh tempatan yang sebelum ini tidak bercakap mengenai isu Palestin di media sosial.
Kata Nadir, artis dan pempengaruh terbabit seharusnya diberi peluang kedua dan dialu-alukan meskipun hanya mula memperkatakan mengenai isu tersebut selepas menerima kesedaran mengenainya.
“Mungkin sebelum ini mereka tidak ada medium atau tak punya maklumat mencukupi untuk bercakap mengenai Palestin.
“Bila dijentik, Alhamdulillah mereka terbuka hati untuk berbuat demikian. Jadi kita kena berikan nasihat dan panduan, bukan keji dan hina mereka.
“Dalam berdakwah pun tidak membenarkan kita mengherdik apatah lagi mengata. Jangan kita persoalkan kenapa selepas ditegur baru mereka nak bercakap soal Palestin.
“Beri sokongan supaya mereka terus bertindak. Mungkin perkongsian artis dan pempengaruh ini membawa impak yang besar. Jadi berikan mereka peluang,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Nadir diminta mengulas isu artis tempatan yang diboikot menerusi kempen Blockout 2024.
Antara yang disenarai adalah Scha Alyahya, Intan Najuwa, Nadhir Nasar, Nabil Ahmad, Ayda Jebat, Ruhainies dan ramai lagi.










