Bekas sarjan wanita didenda RM8,000 terima rasuah RM6,000

Bekas sarjan wanita didenda RM8,000 terima rasuah RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong penyiasat polis berpangkat sarjan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, dua tahun lalu.

Nur Mastisha Maidinsha, 39, didenda selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin atas pertuduhan pilihan. Wanita itu diperintah menjalani hukuman penjara 40 hari jika gagal membayar denda.

Hakim berkenaan menasihati tertuduh supaya insaf dan berfikir secara mendalam sebelum mengambil tindakan pada masa depan.

Ujar beliau, kes itu bukan sahaja memberi kesan kepada tertuduh malah anak yang masih kecil turut terkena tempiasnya.

Mengikut pertuduhan, Nur Mastisha didakwa menerima wang RM6,000 daripada seorang lelaki, yang mana tertuduh mengetahui bahawa individu itu mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai anggota polis.

Kesalahan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9, Cheras, pada 1 dan 12 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta, tertuduh mencadangkan untuk menyelesaikan kes tanpa menjalankan siasatan bagi kesalahan mencabul, didakwa dilakukan anak lelaki berkenaan, dengan cara membayar wang.

Semasa prosiding, Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia tidak pernah terlibat dalam kes jenayah, sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis, selama 19 tahun.

“Ini merupakan kes rasuah pertama yang saya hadapi dan saya anggapnya sebagai ujian.

“Saya perlu menyara dua anak dan menanggung hutang RM4,500 setiap bulan, malah saya tidak lagi bertugas sebagai penjawat awam, sekali gus menyukarkan saya untuk mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias berkata, kesalahan rasuah menconteng arang ke muka pihak polis, selain merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan itu.

“Lebih-lebih lagi, fakta kes yang diakui, tertuduh memperoleh wang suapan untuk dirinya supaya tidak mengambil tindakan ke atas suspek jenayah seksual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×