ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Kedah mempamerkan prestasi cemerlang bagi tahun kewangan 2023 apabila mencatatkan pendapatan sebanyak RM313.1 juta.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, angka itu merupakan yang tertinggi sejak 2016 dengan ini merupakan kali pertama BDB memperolehi pendapatan melebihi RM300 juta dalam tempoh tujuh tahun.
Katanya, syarikat itu turut menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.3 peratus berbanding RM231.4 juta pada tahun kewangan 2022.
“Segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) merupakan penyumbang utama kepada peningkatan tersebut selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“BDB Infra Sdn. Bhd. telah memperolehi kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta. Selain itu, BDB Infra turut menerima kontrak RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan ‘tertier’ di Kedah.
“Manakala bagi segmen hartanah pula, kami telah melancarkan lima projek pembangunan di Bandar Darulaman dekat Jitra, Darulaman Saujana di Hosba serta Aman Nusa dan Darulaman Sanctuary di Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB Ke-29 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Tambah Raja Shahreen, keuntungan syarikat turut dipacu oleh pendapatan lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak dan Kuari Gemi Puncak di Pendang dan Langkawi serta projek usaha sama di Kubang Pasu serta Sungai Petani.
“Walaupun margin untung kasar menunjukkan jumlah lebih rendah iaitu 17.1 peratus berbanding 20.8 peratus pada tahun sebelumnya disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan kos bahan, kekurangan tenaga kerja dan dasar baru gaji minimum, keuntungan selepas cukai (PAT) tetap meningkat sebanyak 121.4 peratus kepada RM12.4 juta,” katanya.
Mengenai perancangan syarikat untuk 2024 dan tahun seterusnya, Raja Shahreen berkata, BDB kekal berhati-hati dan optimis di tengah-tengah ketidakpastian pasaran.
“Kami memberi penekanan kepada kelestarian serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). BDB turut memberi lebih tumpuan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pelaburan dalam penghasilan tenaga boleh diperbaharui untuk memperkasa BDB bagi pertumbuhan pada masa depan.
“Dengan peruntukan yang lebih tinggi untuk pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2024, segmen ECQ dijangka boleh mendapat manfaat daripada projek-projek berimpak tinggi seperti di Kulim Hi-Tech Park serta projek bekalan air yang sedang berjalan di Kedah,” katanya. -UTUSAN











