Bayi sembilan bulan kerap kena sawan

Bayi sembilan bulan kerap kena sawan

Nor Shahdan Rabu dan isteri, Nuranirah Rahmat menjaga Nur Anggun Seroja yang dirawat di hospital swasta akibat penyakit sawan di Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri muda buntu dan runsing apabila memikirkan nasib serta masa depan anak tunggal mereka, Nur Anggun Seroja, 9 bulan, yang berdepan komplikasi kesihatan akibat kerap diserang sawan.

Nor Shahdan Rabu, 25, bersama isterinya, Nur Anirah Rahmat, 25, menzahirkan perasaan itu apabila anak perempuan mereka mula diserang sawan sejak berusia lima bulan.

Menurut Nor Shahdan, bayi perempuannya itu lahir dan membesar dalam keadaan normal sehinggalah diserang sawan, menyebabkannya menjadi kurang aktif berbanding sebelumnya.

“Semasa pertama kali diserang sawan, kami membawanya ke hospital kerajaan di Tangkak, namun doktor kata ia hanyalah sawan biasa. Tetapi selepas itu dia semakin kerap diserang sawan.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini, sudah sembilan kali dia dirawat di hospital kerajaan namun sehingga kini punca penyakit itu masih gagal dikesan.

“Disebabkan itu, kami sekeluarga cuba dapatkan rawatan di hospital swasta dengan harapan Anggun dapat diberikan rawatan bersesuaian untuk menyembuhkan penyakit sawan yang dialaminya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Nor Shahdan, dia menyediakan peruntukan kira-kira RM5,000 untuk rawatan tersebut namun doktor memaklumkan rawatan yang akan dibuat memerlukan kos lebih besar.

“Bukan kami tidak mahu lakukan rawatan di hospital kerajaan, kami sudah cuba namun tempoh menunggu sehingga enam bulan menyebabkan kami bimbang akan keselamatan dirinya.

“Ini kerana penyakit sawannya semakin kerap berlaku, kini ia terjadi setiap hari dan tempoh paling lama sawan itu berlarutan adalah sehingga 30 minit,” katanya yang bekerja sendiri sebagai mekanik dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×