JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang juga pengasuh kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu hingga menyebabkan kecederaan, bulan lalu.
Lim Zhen Jie, 31, dan isterinya, Vivian Lau, 29, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan iaitu anak kepada seorang wanita Vietnam telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh pasangan suami isteri tersebut di sebuah rumah di Jalan Kejayaan 25, Taman Universiti, Skudai antara 19 Mac hingga 25 April lalu.
Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala pasangan suami isteri berkenaan diwakili peguam, Muhammad Mohd. Nasir.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan, perlu lapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran, serahan pasport dan larangan menganggu saksi mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 6 Jun sebagai sebutan semula bagi serahan dokumen perubatan dan laporan bedah siasat.
Pada 1 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, dilaporkan berkata bayi malang itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 3.50 pagi, pada 29 April lalu.
Katanya, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan HSA berkaitan bayi warga asing dimaklumkan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan mangsa disyaki didera, pada hari sebelumnya. – UTUSAN










