PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan menyahsenarai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) daripada Bursa Malaysia melalui satu konsortium dilihat satu langkah gelojoh dengan tujuan diberikan kepada dua syarikat asing satu blok saham besar sebanyak 30 peratus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, apabila sesebuah syarikat dinyah senarai, perkara-perkara penting berkaitan dengan syarikat tidak perlu lagi diumumkan kepada masyarakat awam.
“Adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
“Mengapa hendak disorokkan? Seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, struktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia sebagai mengulas tawaran sukarela prasyarat oleh Gateway Development Alliance (GDA) dan para pemegang sahamnya (secara bersama dikenali sebagai Konsortium) bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium berkenaan.
Radzi berkata, MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah, sebaliknya mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta untuk tahun kewangan 2023 dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 billion.
Katanya, MAHB telah pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan mempunyai ruang yang cukup luas untuk mencatatkan pertumbuhan keuntungan lebih baik melihat kepada potensi pertumbuhan sektor pelancongan di seluruh dunia.
“Hakikatnya, tanpa pegangan satu blok besar saham daripada mana-mana syarikat asing, MAHB telah menunjukkan prestasi kewangan yang baik.
“Nilai sebenar MAHB adalah pada konsesi yang dipegang syarikat tersebut melibatkan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara.
“Pada Mac lalu, konsesi ini dilanjutkan kerajaan sehingga 2069. Bukan sedikit hasil negara milik rakyat yang digunakan untuk membangunkan jaringan lapangan terbang ini dan mengukuhkan kedudukan MAHB sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Malaysia tentunya mengalu-alukan pelaburan asing ke Malaysia, bahkan di dalam Laporan Tahunan MAHB 2023, terdapat 923 pemegang saham asing di dalam MAHB dengan pegangan keseluruhan sebanyak 26.96 peratus.
Namun, katanya, pelaburan asing dalam aset strategik negara tidak harus dibuat secara gelojoh dan mencurigakan.
“Minat syarikat asing terhadap aset logistik di Malaysia bukanlah perkara baharu. Sebagai contoh, pada bulan Januari tahun ini media melaporkan bahawa GIP berhasrat untuk membeli 49 peratus saham di dalam MMC Port Holdings yang menguruskan tujuh pelabuhan di Malaysia.
“Namun begitu, pada bulan April lalu, media melaporkan bahawa cadangan pembelian tersebut tidak diteruskan kerana kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan mengenai harga bagi pegangan tersebut,” kayanya.
Beliau berkata, negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, syarikat yang menguruskan lapangan terbang di negara tersebut dimiliki sepenuhnya kerajaan atau dimiliki sebahagian besarnya oleh kerajaan tanpa diberikan satu blok saham besar kepada syarikat asing.
“Jadi di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB membebankan, tentunya tidak. Untung MAHB pada tahun 2023 adalah RM543 juta dengan tunai di tangan sebanyak RM1.845 billion.
“Kalau hendak dikatakan MAHB tiada kepakaran, MAHB mempunyai pengalaman yang cukup panjang dan kedudukan kewangan yang baik, termasuk menguruskan Istanbul Sabiha Gökçen International Airport di Turkiye.
“Jika perlukan kepakaran juga, apakah kepakaran tersebut tidak boleh diperoleh tanpa menggadaikan blok 30% saham MAHB kepada syarikat asing?” katanya.
Amat jelas katanya, tiada keperluan mendesak untuk menjual blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing dan pihak mana mendapat manfaat dan mengaut keuntungan daripada urus niaga ini dipersoalkan.
Apatah lagi katanya, kerajaan menjual kepentingan dalam MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh BlackRock yang dikatakan pro-Israel.
“Saya menggesa supaya kerajaan, melalui Khazanah dan KWSP, membatalkan tawaran sukarela prasyarat yang dibuat oleh Gateway Development Alliance (GDA),” katanya. – UTUSAN










