TANJUNG MALIM: Bapa kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor Jumaat lalu, bersyukur apabila dua permintaannya ditunaikan.
Azhar Khaiden, 54, berkata, pertama ialah permohonan bagi mendapat surau baharu di kampungnya, Kampung Poh Tambahan dan permohonan anak lelakinya, Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, untuk berpindah dari Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan surau baharu di Kampung Poh Tambahan telah beliau gerakkan sejak dua tahun lalu.
“Mengikut maklumat awal, respons daripada pejabat Menteri Besar (Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad) perkara ini dalam pertimbangan.
“Tragedi menimpa anak saya menyebabkan Menteri Besar (Saarani) telah sampai ke rumah saya pada malam Ahad yang lalu.
“Saya sekali lagi menyuarakan mengenai surau itu pada Menteri Besar yang dengan murah hati telah bersetuju meluluskan RM400,000 bagi pembinaan surau itu di Kampung Poh Tambahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kampung Poh Tambahan merupakan tambahan kampung asal iaitu Kampung Poh yang telah mempunyai surau sendiri.
Katanya lagi, beliau berhasrat untuk menamakan surau baru itu dengan nama Surau Al Fahmi Kampung Poh Tambahan.
“Saya bercita-cita, berhajat untuk menamakan surau baru ini sempena dengan nama anak saya (Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar) kerana dengan sebab munasabab beliau (arwah) Menteri Besar sampai ke Kampung Poh (Tambahan) saya minta diluluskan. Saya minta surau ini diabadikan namanya Surau Al Fahmi Kampung Poh Tambahan Negeri Perak.
“Jadi mengikut perkembangan yang saya dapat, pihak pejabat sudah mengukur tapak dan insya-Allah, perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin saya rasa,” katanya.
Katanya lagi, hikmah kedua yang keluarganya dikurniakan ialah permintaan beliau supaya anak lelakinya yang bertugas sebagai anggota polis di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ditukarkan ke IPK Perak di Ipoh diluluskan oleh PDRM (Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain) dan Kementerian Dalam Negeri (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).
Beliau menyuarakan hasrat itu kepada Razarudin dan Saifuddin semasa berada di Johor bagi proses pengecaman mayat arwah anaknya dan urusan solat jenazah.
“Saya memohon supaya dapat mengubat kesedihannya kerana kehilangan adiknya dan memberi semangat kepada ibunya.
“Saya jumlah anak lelaki seramai dua orang sahaja, satu telah meninggal. Satu itu sahaja yang ada. Alhamdulillah (permohonan) telah diterima dan telah mendapat waran baru penempatan memaklumkan anak saya (Ahmad Azza Fitri Azhar) telah dipindahkan daripada Kota Kinabalu ke IPK, Perak,” katanya. – UTUSAN










