TANJUNG MALIM: Bangkai pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk yang terhempas di ladang dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai semalam masih belum dibawa keluar dari lokasi nahas.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, usaha membawa keluar pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-ADA itu dijangka mengambil sedikit masa ekoran lokasi kejadian yang berada di kawasan hutan.
“Setakat ini, siasatan nahas udara itu masih dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Difahamkan, pegawai penyiasat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat pengendali pesawat itu akan masuk ke lokasi nahas esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam nahas sekitar pukul 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.
Kejadian berlaku ketika pesawat dikendalikan mangsa sedang menjalani latihan penerbangan. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor sebelum berpatah balik ke Ipoh.
Sementara itu, mengulas mengenai punca yang menyebabkan pesawat milik Akademi Penerbangan Layang-Layang itu terhempas, Mohd. Hasni berkata, faktor cuaca mungkin antara penyebab nahas tersebut.
“Maklumat awal yang diperoleh daripada juruterbang disebabkan oleh faktor cuaca yang berkabus.
“Apapun, maklumat tepat berkaitan kejadian ini hanya diketahui selepas Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) selesai menjalankan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, dua mangsa yang cedera dalam kejadian itu telah dipindahkan dari Hospital Slim River ke pusat perubatan lain atas permintaan keluarga.
“Juruterbang dan pelatih wanita itu masing-masing dipindahkan ke hospital swasta di Kuala Lumpur dan Ipoh. Keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil,” katanya. – UTUSAN










