JOHOR BAHRU: Kesemua 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,849 saluran di seluruh negeri ini telah ditutup secara rasmi tepat pukul 6 petang tadi menandakan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berakhir secara rasmi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal termasuk di Pulau Besar iaitu pada pukul 11 pagi, manakala dua lokasi masing-masing di Pulau Aur dan Pulau Pemanggil ditutup pukul 12 tengah hari.
Selain itu katanya, 17 pusat mengundi ditutup pada pukul 2 petang; 42 pusat mengundi ditutup pukul 4 petang dan selebihnya iaitu 1,114 pusat ditutup pada pukul 6 petang.
Sementara itu, proses pengiraan undi dimulakan bagi menentukan parti yang bakal mendapat mandat baharu untuk mentadbir Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.
Setakat pukul 5 petang, SPR memaklumkan seramai 67.44 peratus daripada lebih 2.7 juta rakyat Johor yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Peratusan keluar mengundi tertinggi melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan sebanyak 77.2 peratus, manakala peratusan terendah direkodkan di DUN Bekok iaitu 58.9 peratus. – UTUSAN










