BEIJING: Sebuah zoo di barat daya China mengurung singa, beruang dan serigala di dalam kandang ketika banjir besar akibat Taufan Maysak melanda wilayah itu, tindakan yang disifatkan kumpulan hak haiwan PETA sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’.
Menurut laporan Red Star News, zoo di bandar Guigang, antara kawasan paling teruk terjejas di wilayah Guangxi, mengunci haiwan-haiwan berkenaan bagi mengelakkan mereka terlepas ketika banjir melanda awal minggu ini.
Insiden itu mengakibatkan tiga ekor singa mati lemas, manakala lebih 100 ekor haiwan dilaporkan hilang.
“Kami tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah kepada negara apabila banjir melanda dengan membiarkan haiwan berbahaya terlepas dan mencederakan orang ramai,” kata pemilik Zoo Guigang seperti dipetik Red Star News.
Paras banjir di zoo berkenaan dilaporkan meningkat melebihi dua meter.
Lebih 100 haiwan lain, termasuk sepasang zebra, tiga ekor kuda padi, burung unta, alpaka, rakun dan burung merak, dihanyutkan banjir.
Menurut notis yang dimuat naik zoo itu di media sosial, pihak pengurusan kini memohon bantuan orang ramai untuk mengesan dan mendapatkan semula haiwan-haiwan yang hilang.
Sekurang-kurangnya seekor daripada zebra yang hilang ditemukan mati, menurut laporan susulan akhbar milik kerajaan, Global Times.
Laporan itu turut menyatakan beruang perang dan serigala yang dikurung di dalam kandang berada dalam keadaan lemah selepas hampir lemas akibat banjir.
“Tragedi yang sedang berlaku di Guangxi, China, seharusnya menjadi amaran kepada semua zoo dan kemudahan yang menempatkan hidupan liar dalam kurungan di kawasan yang berdepan cuaca ekstrem,” kata Presiden Asia bagi People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), Jason Baker, dalam satu kenyataan.
Menurut Baker, tindakan membiarkan haiwan terus terperangkap di dalam kandang ketika paras air banjir meningkat adalah ‘tidak berperikemanusiaan’.
Bagaimanapun, beliau berkata melepaskan haiwan liar yang dipelihara dalam kurungan ketika bencana juga adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada haiwan serta orang ramai.
Beliau menggesa setiap zoo menyediakan pelan pemindahan kecemasan dan menamatkan amalan memelihara haiwan liar di zoo.
Di bandar Hengzhou, yang turut terletak di Guangxi, banjir memusnahkan sebuah ladang ternakan ular sehingga menyebabkan ratusan ular tedung, ular tikus raja dan ular air terlepas ke dalam air banjir.
Seorang wanita di Hengzhou dilaporkan meninggal dunia selepas dipatuk ular, menurut Beijing News.
Taufan Maysak mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa di selatan China minggu ini, selain mencetuskan banjir besar yang menyebabkan empangan air melimpah, manakala seluruh bandar ditenggelami air dan mengalami kerosakan teruk.- AGENSI








