PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di tujuh negeri dijangka berlarutan sehingga pukul 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kawasan yang terlibat di Perak iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak dan Batang Padang.
Katanya, cuaca sama turut diramalkan di Kelantan (Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang); Terengganu (Besut, Hulu Terengganu dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin).
Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi Johor membabitkan Kluang, Mersing dan Kota Tinggi; Miri (Marudi) dan Limbang di Sarawak selain kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar) di Sabah.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – UTUSAN








