Azmin perlu berani tampil beri keterangan - Amirudin - Utusan Malaysia

Azmin perlu berani tampil beri keterangan – Amirudin

Azmin berani
AMIRUDIN Shari menyampaikan anugerah Tokoh Guru Perempuan 2024 kepada Mariani Toilan dalam Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2024 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bersikap berani dan bertanggungjawab terhadap tindakan menyebarkan maklumat yang sudah dibahaskan di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu perlu tampil memberi keterangan kepada polis seperti yang diarahkan.

“Beliau perlu bersikap seperti anak jantan dan tidak takut memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan. (Soal tindakan) Itu risiko yang harus ditanggung oleh beliau.

“Imuniti dalam dewan adalah untuk mengemukakan bicara. Bila dia menyebarkan kembali apa dia ucapkan itu dia kena sedar risiko itu. Dia kan anak jantan dia kena pergilah (beri keterangan),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu dilapor menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan ketika persidangan negeri itu.

Beliau yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendedahkan, diminta hadir bagi memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbarnya semalam, Mohamed Azmin enggan memenuhi arahan tersebut sebaliknya memfailkan semakan terhadap notis tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, beliau tidak terlibat dalam laporan polis yang dibuat terhadap bekas Timbalan Presiden PKR itu kerana berada di luar negara untuk tempoh masa yang panjang.

“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak membuat laporan itu kerana mereka merasakan mereka dikritik dan difitnah, itu ceritanya. Saya tidak terlibat langsung untuk membuat laporan atau pun memberi arahan.

“(Sebaliknya) Beliau cuba untuk memanipulasinya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, saya sudah jawab dalam (sidang) dewan dengan jelas dan teliti, dakwaannya menggunakan data yang lapuk dan sebagainya tetapi beliau masih lagi menyebarkan jadi pihak pengurusan PKNS merasakan tidak adil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN