Asrama warga asing: Ada pemaju projek tarik balik PKM

Asrama warga asing: Ada pemaju projek tarik balik PKM

H'NG MOOI LYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menjelaskan bahawa salah satu daripada pemaju projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar telah menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang atau PKM bagi projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye berkata, pemaju itu iaitu Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. yang menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu.

“Dimaklumkan bahawa Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. telah mengemukakan PKM asrama pekerja di Teluk Kumbar pada 16 November 2023.

“Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan dalam dewan yang mulia ini bahawa mereka (Tetuan Zantalite Enterprise)telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu,” katanya dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu, ketika sesi Sidang DUN pada 27 November tahun lalu, Mooi Lye memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima dua permohonan daripada pemaju bagi projek pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar, di sini.

Permohonan pertama melibatkan pembinaan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat yang terdiri daripada ruang kedai enam  unit di aras satu, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua dan 26 tingkat asrama pekerja melibatkan 512 unit di atas lot 1859, 1860 da 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd..

Sementara itu, permohonan kedua pula adalah perlingkungan semula dari zon perumahan am, zon rezab pantai dan zon jalan sedia ada kepada zon perniagaan am serta penambahan ketinggian bangunan daripada lima kepada 30 tingkat untuk pembangunan di atas lot 1435 dan 1437, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Zantalite Enterprise.

Susulan itu juga, penduduk tempatan telah mengadakan beberapa siri demonstrasi bagi membantah pembinaan asrama warga asing berkenaan di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan satu PKM bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di atas Lot
1859, 1860 dan 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

“Permohonan ini telah dikemukakan oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.. Bagaimanapun, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada syarikat itu kerana mereka masih belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBPP,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN