PETALING JAYA: Kegagalan filem Pagari Bulan merekodkan kutipan memberangsangkan di pawagam tidak mematahkan semangat pelakonnya, Aniq Durar untuk terus mencuba nasib dalam dunia perfileman tempatan.
Kata anak kelahiran bumi kenyalang itu, perkara tersebut tidak menghalang, sebaliknya menyemarakkan keinginannya untuk meneroka lebih banyak peluang dalam bidang berkaitan.
“Setiap pelakon mengharapkan yang terbaik bagi setiap filem yang mereka jayakan. Apatah lagi Pagari Bulan yang merupakan filem pertama lakonan saya.
“Ia tidak berhasil di pawagam, itu sedikit mengecewakan saya kerana banyak perkara yang saya korbankan untuk filem ini, termasuk memotong pendek rambut saya selain melaburkan banyak masa untuk menguasai bahasa Jepun.
“Saya pun tak tahu dimana silapnya kerana Pagari Bulan adalah filem yang sangat bagus. Mungkin pemasarannya yang sedikit perlahan membuatkan filem ini kurang mendapat perhatian masyarakat.
“Harapnya, filem saya yang seterusnya, Nyonya Ronggeng akan ‘menjadi’ di pawagam. Ia akan ditayangkan tak lama lagi, bila tarikhnya tak dapat saya pastikan,” katanya.
Aniq menerusi Pagari Bulan, membawakan watak Leftenan Miura, seorang askar Jepun yang jatuh cinta kepada wanita tempatan.
Filem tersebut yang diarahkan Raja Mukhriz, turut menampilkan Nazeera Sardi, Alvin Wong, Trisha Ooi, Michael Ang dan ramai lagi.
Dalam pada itu, Aniq menolak apabila dia dilabelkan sebagai pelakon One Hit Wonder kerana namanya sedikit tenggelam selepas kegagalan filem tersebut meraih sokongan penonton di pawagam.
“Perjalanan seni saya tidak terhenti setakat filem itu sahaja, malah selepasnya muncul beberapa peranan dalam filem dan drama yang ditawarkan kepada saya.
“Antaranya drama Luruhnya Bunga Cinta musim ke-2, Dua Darjat dan dua lagi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi,” kongsinya.











