Akaun syarikat dijadikan keldai akaun

Akaun syarikat dijadikan keldai akaun

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menggesa institusi perbankan agar lebih cakna terhadap aktiviti pemindahan wang daripada individu ke dalam akaun syarikat dipercayai menjadi keldai akaun bagi jenayah pelaburan tidak wujud. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mendapati kes pelaburan tidak wujud membabitkan akaun syarikat yang dijadikan keldai akaun semakin berleluasa. 

“Pihak bank perlu kenal pelanggan, tahu apa urusan dan bagaimana transaksi boleh dilakukan. Syarikat itu sendiri pun dicurigai, bagaimana pihak bank melaksanakan verifikasi terhadap syarikat tersebut sebelum akaun bank dibuka.

“Nama syarikat pun ‘fancy’. Begitu mudahnya akaun dibuka sehinggakan duit-duit disalurkan dan menjadi keldai akaun.

“Justeru, saya memohon pihak bank untuk lebih cakna berhubung pindahan wang daripada individu ke dalam akaun,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya telah menerima laporan dibuat di Petaling Jaya, Selangor, daripada seorang ahli perniagaan yang ditipu skim pelaburan dalam talian sehingga kerugian RM1.73 juta pada 6 Mei lalu. 

Jelas beliau, kes melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang tertarik dengan iklan skim pelaburan ‘pasaran saham’ di Facebook pada Mac lalu. 

“Pengadu seterusnya telah menekan pautan yang diberikan dan disambungkan kepada seorang lelaki yang kemudiannya memberi penerangan skim pelaburan tersebut. 

“Pengadu dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diarahkan membuka akaun pelaburan di Platform Parity Asset Management (Singapore) Pte Ltd,” ujarnya.

Menurut Ramli, pengadu telah membuat lapan pindahan wang ke beberapa akaun bank syarikat yang diarahkan dengan jumlah keseluruhan RM1.73 juta untuk urusniaga pasaran saham berasaskan emas.

 “Pengadu curiga dengan kesahihan pelaburan tersebut apabila diarahkan membuat pelbagai bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi. 

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN