SHAH ALAM: Agro pelancongan negara mempunyai peluang pembangunan yang lebih baik sekiranya dapat berintegrasi dengan pengoperasi-pengoperasi pelbagai segmen pelancongan mengikut lokasi-lokasi bersesuaian.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azman Ismail, agro pelancongan pada masa depan perlu melibatkan tarikan lain dan tidak menjurus kepada produk pertanian semata-mata.
“Sesetengah tempat yang mempunyai agro pelancongan seperti inap desa, ia semakin meningkat dan popular, tempat yang tidak popular sangat perlahan kerana tiada faktor tarikan di sekeliling.
“Semoga kita dapat fikirkan (untuk memajukan sektor agropelancongan), mungkin juga kita perlukan ada satu integrasi dengan tempat yang berdekatan yang mempunyai faktor terikan seperti sejarah, pemandangan dan tempat menarik, restoran ataupun pusat membeli-belah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Agro Pelancongan 2024 hari ini.
Tambahnya, bagi menjayakan sektor agro pelancongan, ketika ini MARDI menjadikan sembilan stesen penyelidikannya di seluruh negara sebagai taman agro teknologi berkonsepkan pusat agro pelancongan yang menggabungkan lima elemen iaitu teknologi, inovasi, konservasi, pendidikan dan rekreasi (TICER).
“Pelancong boleh melihat sendiri elemen teknologi dan inovasi pertanian secara terus melalui plot demo tanaman, demo pemprosesan serta pameran pelbagai sampel hasilan dan model peralatan yang diketengahkan di dalam sektor ini.
“Elemen konservasi diaplikasi kepada koleksi khazanah sejarah berkaitan pertanian, amalan pertanian tradisional yang boleh dihayati generasi muda,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau memaklumkan, melalui elemen pendidikan dan rekreasi, plot demo tanaman, seiring dengan konsep pelan persekitaran lanskap yang menarik dan mesra alam,ia boleh hidiabadikan menerusi media sosial berkonsep agri-edutainment.
Tambahnya lagi, stesen penyelidikan terlibat seperti Taman Agro Teknologi MARDI Cameron Highlands dan Cherating di Pahang, Kuala Kangsa dan Bagan Datuk di Perak, Pulau Langkawi, Kedah; Tanjong Karang, Selangor; Kuala Linggi, Melaka; Kluang, Johor dan Jeram Pasu, Kelantan. – UTUSAN










