548 jenis produk, kosmetik tidak berdaftar, bernotifikasi dirampas - Utusan Malaysia

548 jenis produk, kosmetik tidak berdaftar, bernotifikasi dirampas

DR. KASEMANI Embong (dua, kanan) melihat pameran ubat-ubatan selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Wakaf Tapai, Marang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Sebanyak 548 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM277,643 dirampas oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada tahun lalu.

Pengarah JKNT, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44 kes berjaya didakwa mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM199,200.

Menurutnya, kesemua produk rampasan itu dikesan oleh pegawai penguatkuasa Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu (CPFNT) hasil operasi yang dijalankan.

“Selain pemeriksaan terhadap premis kedai fizikal, kita juga memantau penjualan ubat-ubatan dan kosmetik secara dalam talian.

“Sebanyak 1,353 iklan perubatan yang diiklan melalui media sosial telah dibuat pemantauan untuk menjaga keselamatan pengguna,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian program Gerak Gempur Cakna Ubat 2024 di Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai ciri-ciri keselamatan ubat-ubatan dan kosmetik yang berada di pasaran agar penggunaannya tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Dr. Kasemani berkata, tiada premis yang terlepas daripada pemantauan pihaknya walaupun berada di kawasan pedalaman.

“Ini termasuk premis kedai runcit dan kedai makan di kawasan kampung kerana jualan ubat-ubatan tidak berdaftar adalah berbahaya kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM boleh disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Orang ramai boleh menggunakan aplikasi FarmaChecker yang dibangunkan KKM untuk membuat rujukan mengenai ketulenan dan keselamatan ubat-ubatan yang dibeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN