NEW YORK: Gergasi teknologi global, Apple merancang untuk menaikkan harga bagi sebahagian besar produknya ekoran kesukaran syarikat itu untuk menampung lonjakan kos komponen kritikal yang kian meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook mengambil langkah luar biasa dengan memberi amaran kepada pengguna bahawa syarikat itu tidak lagi mampu ‘menyerap’ peningkatan kos yang semakin meruncing.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama akhbar The Wall Street Journal, Cook mengesahkan bahawa lonjakan harga dalam sektor teknologi telah memaksa beliau mengambil tindakan tersebut.
Namun, beliau tidak menjelaskan bila kenaikan harga itu akan dilaksanakan, berapa besar kenaikannya atau peranti mana yang akan terjejas.
Pelancaran besar Apple yang seterusnya dijangka berlangsung pada September, melibatkan siri iPhone 18.
“Bekalan semakin berkurangan pada ketika pengguna mahukan lebih banyak peranti,dan pengeluar memori pula memindahkan kenaikan harga yang sangat besar kepada pelanggan,” kata Cook.
Laporan Wall Street Journal memetik anggaran firma penyelidikan TechInsights yang menyatakan bahawa Apple perlu menaikkan harga model iPhone Pro sebanyak AS$270 (RM1,110) bagi mengekalkan margin keuntungan semasanya.
Pembinaan pesat pusat data AI telah menyebabkan kos cip memori dan RAM melonjak mendadak kerana komponen tersebut digunakan dalam hampir semua peranti elektronik dengan harga cip mencatat kenaikan sekurang-kurangnya 50 peratus setiap suku tahun sejak penghujung 2025.
“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan besar yang diserahkan kepada kami. Kami juga telah cuba melindungi pelanggan kami daripada kesan ini, namun keadaan kini sudah tidak lagi mampan,” katanya. – AGENSI










