IPOH: Seorang pemandu bas dan 39 penumpang cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas di Kilometer 264.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian sekitar pukul 7.28 pagi itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah ke Ipoh untuk menghadiri majlis keagamaan.
Kejadian itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki dan mangsa dilaporkan tidak cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang terbalik dalam longkang di tepi lebuh raya dan sebuah kereta.
“Bas berkenaan dinaiki 29 wanita, lapan lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka mengalami kecederaan.
“Operasi penyelamatan segera dijalankan dengan dibantu pasukan dari BBP Kuala Kangsar. Mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan alat menyelamat hidraulik,” katanya.
Menurut beliau, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut membantu pegawai kesihatan memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dengan menaiki tujuh ambulans milik KKM, EMRS dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.
“Kerja-kerja memeriksa bahagian bawah bas sedang dilakukan dengan menunggu bantuan kren bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal,” katanya. – UTUSAN









