JERANTUT: Seramai 2,919 generasi baharu Felda dari 13 tanah rancangan Felda di daerah ini menerima Notis 5A Skim Tanah Rakyat (STR) Pahang, hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah berkata, mereka menerima kelulusan lot seluas 50 meter persegi untuk membina rumah sendiri.
Menurutnya, kelulusan STR ini dapat mengatasi masalah kediaman generasi baharu Felda yang mendesak sejak sekian lama.
“Masalah perumahan ini berikutan generasi baharu ramai sudah berkeluarga dan memerlukan rumah sendiri. Lot tapak STR membolehkan mereka membina rumah mengikut kemampuan,” katanya selepas menyerahkan Notis 5A Skim Tanah Rakyat ( STR) di Felda Kota Gelanggi 1, Mukim Pulau Tawar, hari ini.
Menurutnya, seramai 226 generasi baharu Felda Kota Gelanggi 1 menerima lot kosong seluas 22.924 hektar manakala 262 peserta dari Felda Lepar Utara 3 dengan keluasan lot 18.017 hektar.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju premium tanah untuk kegunaan bangunan kediaman melalui STR generasi baharu Felda ditetapkan pada kadar nominal RM5 semeter persegi.
“Ini bermakna mereka yang terpilih hanya menjelaskan premium tanah sekitar RM2,000 untuk 50 meter persegi berbanding RM15,000 hingga RM16,000 harga semasa,” ujarnya.
Menurut Haris Salleh empat lagi rancangan Felda iaitu Felda Kota Gelanggi 2 (208 peserta), Felda Kota Gelanggi 3 (158), Felda Sungai Tekam Utara ( 236) dan Felda Sungai Tekam Getah (412) akan menerima Notis 5A pada bulan ini. – UTUSAN










