PETALING JAYA: Wanita UMNO menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan tidak menghormati institusi Raja-Raja agar tidak menjadi budaya di negara ini.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tindakan tegas seperti ini amat penting sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya lebih peka dan bertanggungjawab dalam mengulas isu-isu sensitif atau berkaitan 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Raja-Raja).
Katanya, Wanita UMNO menzahirkan rasa kesal di atas sebuah hantaran Facebook milik seorang pemimpin politik muda di sebuah negeri baru-baru ini yang jelas memperlekehkan institusi Raja-Raja dan kesucian agama Islam di negara ini.
“Kenyataan yang dibuat itu jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan mampu menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
“Bulan Syawal ini adalah masa untuk bermaafan bukan untuk mencetus suhu panas politik. Justeru Wanita UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian demi kesejahteraan negara,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Pengarah Media Pemuda PAS Selangor, Hezry Yasin menerangkan tentang mengenai keengganannya untuk mengaminkan doa buat Yang di-Pertuan Agong dan sultan semasa menunaikan solat Jumaat di Johor baru-baru ini.
Selepas postingannya tular, Hezry kemudian memadam dan memohon maaf, selain menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk menghina institusi diraja.
“Jujur saya agak speechless. Saya mohon maaf atas kesilapan saya,” katanya sambil berkata hantaran itu adalah pandangan peribadinya –UTUSAN










