KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik kemasukan tiga akhbar utama di negara ini termasuk Utusan Malaysia bagi membantu meningkatkan pengukuhan bahasa Melayu di sekolah.
Sehubungan itu, ia akan memberi memanfaatkan kepada lebih lima juta murid di 10,232 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang akan memulakan persekolahan bagi sesi 2024/2025 di semua peringkat.
Utusan Malaysia sejak awal penerbitannya menggunakan format penggunaan bahasa Melayu yang tepat seperti digariskan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mampu menjadi wadah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, media massa banyak memainkan peranan dalam menyampaikan perkara-perkara yang sangat bermanfaat dan kecerdasan kepada rakyat.
Kata beliau, kementeriannya sangat menyokong apabila tiga akhbar utama itu dibawa masuk ke sekolah-sekolah antaranya Utusan Malaysia.
“Akhbar ini dibawa masuk untuk disebarkan serta memperluas peranannya dalam mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
“Selain itu, ia memastikan bahawa ruang dan disiplin membaca akhbar ini dipertingkatkan semula dalam ruangan di sekolah-sekolah,” katanya pada Majlis Iftar Si Burung Kecil dan Ramah Mesra bersama-sama pengamal media di Dewan Kompleks Seri Bintang di sini, kelmarin. – UTUSAN










