PETALING JAYA: UMNO berpeluang cerah untuk menang di enam kerusi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) pada tahun ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berpendapat UMNO mempunyai peluang untuk menang terutamanya di kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu dengan majoriti tipis.
Menurutnya, hal ini kerana UMNO akan mendapat undi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) selepas kedua-dua gabungan tersebut bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
“KJ (Khairy Jamaluddin) kata jika berlaku PRK di tujuh kerusi lompat itu, Bersatu boleh menang semuanya jika diadakan pada tahun ini.
“Saya sedikit berbeza pandangan, saya berpendapat UMNO berpeluang untuk menang terutama di kerusi Parlimen yang kalah tipis. Kali ini jika berlaku PRK, mereka akan dapat bantuan undi penyokong PH,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen daripada Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
ADUN Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Justeru, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, inilah masanya untuk UMNO yang sebelum ini kalah teruk pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri untuk bangkit semula.
“Jadi, tugas UMNO sekarang dalam kerajaan ialah desak Speaker Dewan Rakyat isytiharkan kerusi-kerusi ini kosong supaya berlaku PRK.
“Desak dan tekan bersungguh-sungguh. Memandangkan enam kerusi Parlimen itu UMNO di tempat kedua, parti inilah paling layak meletakkan calon. Semoga pandangan ini diambil kira,” katanya.
Bagaimanapun, rata-rata pengikutnya di Facebook meninggalkan komen bahawa catatan Ahmad Fadhli tersebut sebenarnya hanyalah untuk ‘memancing’ UMNO dan PH supaya mengadakan PRK di enam kerusi tersebut.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada partinya itu yang disifatkan sebagai berpaling tadah kerana menyokong pimpinan pihak lawan sudah tergugur secara automatik serta perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.
Beliau berkata, mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu. – UTUSAN










