PETALING JAYA: Kemudahan pembelian tiket dalam talian menyukarkan kerja ulat tiket untuk mencari ‘punca rezeki’ ketika musim perayaan.
Kesedaran orang ramai membeli tiket pulang ke kampung dalam talian kian meningkat dari tahun ke tahun dan tidak perlu ke kaunter fizikal.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, setiap kali musim perayaan tidak dinafikan akan muncul ulat-ulat tiket di terminal bas.
“Namun apa yang dapat dilihat kini, ulat tiket kian berkurangan kerana kemudahan dalam talian yang memudahkan pelanggan. Dari tinjauan kami hanya segelintir sahaja yang gigih mencari ‘pendapatan’ tersebut di terminal-terminal bas utama.
“Empat ke lima tahun dahulu memang masih banyak lagi yang berlegar-legar di terminal mencari pelanggan, namun sekarang bilangan mereka sangat berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan tinjauan Mingguan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan, mendapati orang ramai telah membeli tiket pulang ke kampung lebih awal untuk elak kesesakan dan kehabisan tiket.
Pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuala Lumpur, Nur Adriana Mohd. Nazreen berkata, dia membeli tiket bas pulang ke Johor Bahru minggu lalu dan mendapati kebanyakan bas menghala selatan masih banyak dijual.
“Saya bernasib baik kerana masih banyak tiket yang dijual walaupun pembelian sudah masuk minggu kedua Ramadan. Mungkin kerana laluan ke Johor Bahru mempunyai jumlah perjalanan yang banyak dalam masa sehari,” katanya.
Menurutnya, dia tidak akan membeli tiket bas menerusi ulat tiket ekoran akan memberi keuntungan ‘atas angin’ kepada mereka.
Pendapat lain yang dilontarkan seorang pekerja swasta, Muhammad Aidil Zarif berkata, dia akan membeli daripada ulat tiket jika kehabisan tiket ke Bachok, Kelantan walaupun harganya berlipat kali ganda.
“Saya akan tetap pulang beraya bersama keluarga di Kelantan dan tidak kisah untuk membayar RM150 untuk sekeping tiket. Apa yang penting buat saya adalah sambutan Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Ashfar berkata, pengusaha-pengusaha bas ekspres tidak mampu untuk sediakan bas tambahan ketika musim perayaan ekoran kekurangan pemandu.
“Kita menerima banyak permintaan daripada penumpang untuk menambah jumlah bas namun kita tak mampu untuk laksanakan walaupun telah banyak kali memohon kepada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan untuk buka peluang dalam mencari pemandu bas.
“Kerajaan harus sediakan kursus Lesen Memandu Kelas E kepada golongan B40 secara percuma dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










