Tindakan tegas individu cabar institusi, perlembagaan negara - PM

Tindakan tegas individu cabar institusi, perlembagaan negara – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar institusi serta perlembagaan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar institusi serta perlembagaan negara.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bertindak sedemikian.

“Jadi saya telah tegaskan dan tekankan, kita tidak akan tolak ansur. Tidak peduli siapa, kedudukan dia, parti mana.

“Jangan diugut sekiranya diambil tindakan, apalagi kalau menyentuh soal 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya selepas menghadiri taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Anwar berkata, tonggak institusi negara ini perlu dipertahan termasuk prinsip Perlembagaan, hak Islam serta hak bukan Islam.

“Jika menyentuh kedudukan raja-raja terutama (itu yang dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja), jangan kita bertolak ansur.

“Institusi negara tonggaknya mesti dipertahan termasuk prinsip Perlembagaan, hak Islam, hak bukan Islam, semua itu tertera dalam Perlembagaan.

“Sekiranya mencabar, kita akan ambil tindakan tegas dan kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum, itu jangan pertikai,” katanya.

Sementara itu, beliau percaya Dr. Muhammad Akmal dipanggil untuk siasatan dan bukannya ditahan polis.

“Saya rasa itu bukan tangkapan, dia (Akmal) dipanggil untuk disiasat,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN