Tiga warga Pakistan dalam perjalanan solat Aidilfitri maut dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Tiga warga Pakistan dalam perjalanan solat Aidilfitri maut dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tiga lelaki warga Pakistan yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor di sini semalam.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa berusia 20 hingga 35 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan enam lelaki warga Pakistan yang sedang berjalan kaki menuju ke sebuah masjid berhampiran bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati, kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar enam pejalan kaki.

“Akibat kemalangan itu, dua lelaki maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

“Dalam kejadian itu, tiga rakan mereka parah kini dirawat di hospital sama. Kesemua warga asing itu mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan dijalankan terhadap pemandu kenderaan itu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ganja.

Katanya, suspek yang masih bujang itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan Teluk Intan.

“Polis turut menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan Puspakom. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN