Tiada keperluan pinda Akta 50

Tiada keperluan pinda Akta 50 – Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan boleh diselesaikan tanpa perlu meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50).

Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan, Prof. Dr Noor Hassim Ismail berkata, pihaknya tidak jelas dengan merit bagi meminda Akta 50 bagi menampung pendaftaran doktor di bawah program ‘Parallel Pathway’.

“Kami prihatin dengan keadaan pelatih dan graduan program Parallel Pathway yang dijalankan di Malaysia. Mereka menyertai program latihan yang menganugerahkan kelayakan namun tidak boleh didaftarkan ke dalam Daftar Pakar Perubatan Malaysia.

“Untuk membolehkan pendaftaran mereka sebagai doktor pakar, undang-undang semasa membolehkan mereka diserap ke dalam program tempatan melalui proses pemindahan kredit atau pemetaan kurikulum.

“Oleh itu, selepas menjalani latihan, mereka akan dianugerahkan dengan kelayakan yang didaftarkan di bawah Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan layak didaftarkan sebagai pakar dalam Daftar Pakar Majlis Perubatan Malaysia.

“Bagi pelatih yang masih dalam sistem pengajian, mereka boleh dipindahkan ke program universiti tempatan melalui proses yang sama. Adalah jelas bahawa dilema yang dihadapi oleh graduan

“Parallel Pathway” ini dapat diselesaikan tanpa perlu meminda Akta 50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdedikasi dalam memastikan individu yang telah berjaya menamatkan latihan di bawah program “Parallel Pathway” akan layak didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50.

Tambah Noor Hassim, tidak ada percubaan oleh penganjur “Parallel Pathway” untuk mematuhi undang-undang apabila Akta Perubatan (dipinda) 2012 berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.

“Kami mengambil maklum bahawa sebelum Akta 50 dipinda melalui Akta Perubatan (Pindaan) 2012 yang berkuat kuasa 1 Julai 2017, tiada peruntukan undang-undang untuk Majlis Perubatan Malaysia MMC mendaftarkan Pakar Perubatan (Specialist).

“Oleh itu, selepas 1 Julai 2017, dalam menjalankan tugas pendaftaran pakar, MMC mesti berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Ini bermakna semua kelayakan pakar, tempatan dan antarabangsa mesti diiktiraf mengikut proses yang sewajarnya seperti yang ditetapkan oleh Akta 50 tersebut,” katanya

Selain itu, katanya, universiti tempatan mesti terus memainkan peranan penting sebagai pemimpin dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan teknologi.

“Dalam aktiviti pengajaran, universiti hendaklah memastikan pematuhan kepada piawaian mengenai latihan profesional untuk Doktor Pakar serta pendidikan yang diperlukan untuk pembangunan personaliti,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN