KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan khabar angin berkaitan kenaikan harga minyak masak yang didakwa bermula bulan ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya tidak ada membuat sebarang pengumuman mahupun kenyataan berkaitan perkara tersebut.
Menurutnya, semua harga minyak sudah pun ditetapkan harga maksimum.
“Kenapa peniaga cakap naik harga? Sebab harga minyak sawit mentah (CPO) naik harga, jadi ada di antara peniaga buat ramalan yang harga akan naik.
“Ini sangat bahaya kerana apabila mereka buat spekulasi seperti ini, orang akan berebut beli minyak masak dan ketika harga betul-betul boleh naik.
“Tak sepatutnya mereka buat kenyataan seperti itu sebelum kementerian membuat kenyataan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan dan sesi `walkabout’ sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC, dekat Kemunting, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan bekalan telur masih lagi stabil bermula awal Ramadan hingga semalam.
Jelasnya, walaupun permintaan meningkat susulan ramai peniaga menggunakan telur untuk membuat kuih dan biskut raya, namun tiada aduan kekurangan diterima.
“Sepanjang bulan Ramadan ini kita adakan Ops Pantau dan data diperoleh itu kita tengok dari segi bekalan, cuma dari segi harga ada sedikitlah (laporan) tapi itu kes terpencil,” katanya.
Mengenai Ops Pantau, lebih RM560,000 kompaun dikutip pasukan penguatkuasaan sejak operasi itu dilancarkan pada 12 Mac lalu.
Antara kesalahan yang dikesan adalah harga terlalu mahal, tiada tanda harga dan (paparan) harga mengelirukan. –UTUSAN










