Terkilan tak dapat tatap wajah abang buat kali terakhir - Utusan Malaysia

Terkilan tak dapat tatap wajah abang buat kali terakhir

JENAZAH Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi ketika dibawa ke rumah keluarganya di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir di Manjung semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Lima daripada enam adik Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, merasa sedih dan terkilan kerana tidak menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Mohd. Shahril Mohd. Termizi, 40, berkata mereka diberitahu oleh pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas bahawa keranda yang membawa jenazah abang sulungnya itu dan dibaluti Ensign pasukan tersebut, tidak boleh dibuka.

Beliau yang juga anak kedua daripada tujuh beradik memberitahu, hanya ibu bapa mereka iaitu Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, dan Hasnah Yasim, 67, serta adik bongsu, Nur Syakila, 28, berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika membuat pengecaman di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Katanya, difahamkan isteri arwah iaitu Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, serta tiga anak iaitu Nurul Shahfiqah, 21; Nurul Shahfizah, 20; dan Muhammad Shahfirul Aizad, 15, turut berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika jenazah berada di Ipoh.

“Kami rasa terkilan apabila tidak dapat menatap wajah Along (Mohd. Shahrizan) kerana keranda sudah ‘seal’ daripada hospital.

“Begitupun, kami memahami keadaan itu dan dapat menyentuh keranda pun sudah memadai sebagai tanda perpisahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir, semalam.

Jenazah Allahyarham tiba di rumah keluarga mereka itu pada pukul 7.40 malam dan ahli keluarga diberi peluang kira-kira 40 minit untuk menziarahi dan mendoakan arwah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir malam tadi.

Menurut Mohd. Shahril, arwah begitu rapat dan sentiasa mengambil berat semua adiknya dengan kali terakhir berjumpa ialah pada sambutan Aidilfitri lalu.

“Kami semua tujuh beradik dapat berkumpul menyambut Hari Raya bersama-sama pada 1 Syawal lalu.

“Ini suasana yang akan dikenang sampai bila-bila kerana tidak pernah kami dapat berkumpul bersama seperti itu kerana kekangan kerjaya masing-masing.

“Tidak sangka gambar beraya bersama menjadi kenangan terakhir bagi kami semua,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN