MELAKA: Laporan interim tragedi pertembungan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa di Pangkalan TLDM, di Lumut, Perak pada 23 April lalu dijangka siap minggu hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam masa yang sama, jawatankuasa penyiasat sedang melengkapkan laporan penuh insiden itu dalam tempoh yang ditetapkan sebelum ini.
“Seperti dikatakan (sebelum ini) laporan interim itu akan disiapkan dalam masa dua minggu, jadi kita tidak mahu buat andaian dan spekulasi.
“Siasatan itu akan mengambil masa 30 hari bekerja untuk kita tahu punca-punca (kejadian) yang sebenar,” katanya dalam lawatan kerja di Wisma Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak, Sungai Udang di sini, semalam.
Pada 23 April lalu, dua helikopter HOM-AW139 dan helikopter Fennec TLDM bertembung di udara ketika menjalani raptai bersempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90.
Pesawat HOM dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Sementara itu, Khaled berkata, sebanyak RM3.17 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan rumah anggota tentera di Kem Terendak di sini bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada anggota tentera.
Katanya, banyak kediaman di Kem Terendak sudah berusia puluhan tahun malah terdapat unit yang tidak sesuai untuk didiami.
“Kerja-kerja menaik taraf ini akan dilakukan sendiri oleh ATM sekaligus dapat menjimatkan kos dan mengelak berlakunya projek sakit. Saya yakin ia (projek) akan siap sebagaimana yang dirancang,’’ katanya. – UTUSAN









