JKM sedia khidmat kaunseling keluarga nahas helikopter - Utusan Malaysia

JKM sedia khidmat kaunseling keluarga nahas helikopter

SALBIAH Mohamed (kanan) menziarahi ibu bapa Allahyarham Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi di Lekir, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada tiga keluarga mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, sebagai usaha mengurangkan trauma mereka akibat kejadian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pihaknya memahami perasaan serta situasi dihadapi semua tiga keluarga yang menetap di Perak.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihak JKM memberi peluang kepada semua ahli keluarga tersebut menenangkan keadaan dalam tempoh seminggu dua ini, sebelum melakukan perkhidmatan itu secara intensif.

“Setakat ini (petang semalam), JKM sudah memberi sedikit sesi kaunseling kepada keluarga Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy di Selama dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Lekir.

“Bagi keluarga Leftenan T Sivasutan pula, pegawai JKM sudah bertemu mereka petang ini (semalam) tetapi sesi kaunseling belum diberikan lagi,” katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Mohd. Shahrizan di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir semalam.

Menurutnya, adalah penting untuk memberikan sokongan moral yang kukuh untuk tiga keluarga tersebut yang kehilangan insan tersayang melibatkan tragedi seumpama itu.

“Kita berjumpa keluarga sebagai pendekatan awal untuk melihat keadaan mereka selain membuat lawatan susulan.

“Sesi kaunseling juga akan diberikan mengikut keperluan dan keadaan keluarga terlibat,” ujar beliau.

Pada masa sama, jelasnya, bantuan Tabung Wang Kecemasan Kerajaan Perak telah diberikan kepada tiga keluarga tersebut dan pihaknya akan melihat keperluan lain mereka dari masa ke semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN