LUMUT: Jasad Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam nahas helikopter kelmarin, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sitiawan, dekat sini, hari ini.
Jasad mendiang dibakar mengikut kepercayaan agama Hindu selepas diberi penghormatan mengikut Istiadat ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Terdahulu, upacara sembahyang mengikut agama Hindu dilakukan di kediamannya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan dekat sini, bermula pukul 9 pagi.
Jasad mendiang yang berada dalam keranda dibaluti Ensign atau panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kemudian diusung oleh lapan pegawai pasukan itu yang berpakaian istiadat dengan seorang pegawai berada di hadapan sebagai jurupandu.
Seramai 14 pegawai dan anggota pasukan itu yang berpakaian istiadat dan lengkap bersenjata dari Markas Pangkalan Lumut pula melakukan kawalan kehormat sebagai penghormatan kepada mendiang.
Panji pada keranda itu kemudian ditanggalkan dan diserahkan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama R. Harisundar kepada ibu mendiang, R. Parameswari, 60, sebagai simbolik penghargaan pengorbanan mendiang sepanjang berkhidmat dalam pasukan tersebut.
Jasad kemudian dibawa menaiki kenderaan dari kediamannya itu ke Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram, dekat Kampung Serdang Sitiawan, di sini.
Di pusat krematorium tersebut, pasukan kawalan kehormat sekali lagi melakukan penghormatan terhadap mendiang.
Upacara penghormatan kemudian turut disertai bapa mendiang, M Thanjappan, 61, disusuli dengan upacara menanggalkan pingat dan aksesori perkhidmatan daripada pakaian seragam yang dipakai mendiang, sebelum upacara pembakaran dilakukan.
Pegawai dan anggota TLDM kemudian melakukan tabik hormat ketika jasad mendiang dimasukkan ke dalam relau pembakaran.
Mendiang yang bertugas sebagai juruterbang di Skuadron 502 Pangkalan TLDM Lumut meninggalkan seorang isteri, Dr. S. Harshini, 31, yang dikahwininya kira-kira empat bulan lalu.
Selasa lalu, dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi, semalam.
Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di Lumut dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah terkorban.
Dua pesawat itu iaitu model Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan kira-kira pukul 9.03 pagi sebelum terhempas ketika berada dalam ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut manakala AW139 di Stadium TLDM Lumut. – UTUSAN










