Terengganu, Kelantan terima Wang Ehsan RM230.9j

Terengganu, Kelantan terima Wang Ehsan RM230.9j

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan Wang Ehsan kepada kerajaan negeri ditadbir pembangkang iaitu Terengganu sebanyak RM172.3 juta dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri. 

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bayaran RM103.1 juta untuk obligasi kerajaan negeri Terengganu kepada kontraktornya.

“Kerajaan komited memastikan Wang Ehsan dikhususkan untuk manfaat Terengganu dan Kelantan.

“Keutamaannya kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar berkata, sebarang baki Wang Ehsan akan tetap diguna untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat.

Jelasnya, ia termasuk program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

“Berhubung dengan pemberian Wang Ehsan, ia bukan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.

“Namun demikian, kerajaan menyalurkan Wang Ehsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada kerajaan negeri Terengganu dan RM200 juta kepada kerajaan Kelantan pada 2023,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

Jelasnya, ia dicerminkan melalui peningkatan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta peruntukan pembangunan untuk semua negeri bagi 2023 dan 2024.

“Pemberian disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN