KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan untuk mewujudkan penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, antara lokasi yang dikenal pasti ialah Seoul, Osaka, Istanbul, Dubai, Doha, Melbourne dan Guangzhou.
Menurutnya, perkara itu masih di peringkat perbincangan awal dan berharap semua wakil rakyat Terengganu mendoakan kejayaannya.
“Ini adalah usaha kita untuk meningkatkan bilangan penumpang di LTSM.
“Kalau mereka tak minat dengan penerbangan domestik, kita perkenalkan pula penerbangan antarabangsa di LTSM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Husaimi Hussin (Bersatu-Hulu Besut) mengenai bilangan penumpang LTSM pada tahun 2022 dan 2023 dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Berdasarkan rekod, bilangan penumpang yang mendarat dan berlepas di LTSM bagi tahun 2022 adalah 611,412 penumpang manakala bagi tahun 2023 pula jumlahnya ialah 593,095 penumpang.
Terdahulu, menjawab soalan Mohd Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri) mengenai perancangan untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau daerah Setiu pula, Razali berkata, pihaknya sedang memantau kewujudan jeti-jeti haram di kawasan tersebut.
“Antara rancangan jangka pendek kita memajukan industri pelancongan ialah dengan melakukan proses pemutihan jeti-jeti yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terutamanya dari aspek keselamatan.
“Bagi rancangan jangka masa panjang pula adalah termasuk meneroka potensi bagi pengurusan jeti secara bersepadu untuk ke pulau-pulau peranginan,” katanya.
Mengenai isu muara cetek pula, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran telah melantik syarikat perunding bagi menjalankan kajian pemuliharaan muara Sungai Merang di daerah Setiu.
“Pihak JPS juga telah memohon kelulusan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pemuliharaan Muara sungai merang ini dan status terkini adalah di dalam tempoh pendekatan pengurusan nilai, peringkat kejuruteraan nilai dan peringkat semakan nilai yang perlu dilaksanakan oleh kementerian,” katanya. – UTUSAN










