Tentera Israel gagal hapuskan Hamas - Utusan Malaysia

Tentera Israel gagal hapuskan Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hampir enam bulan tentera Israel melancarkan serangan dan genosid di Semenanjung Gaza sehingga menyaksikan lebih 33,000 orang awam terbunuh dan kanak-kanak kebuluran. 

Serangan yang kononnya mahu menjejak dan menghapuskan pejuang Hamas, menghalalkan 1,001 penindasan, kekejaman dan penyeksaan tanpa henti sehingga Hospital Al-Shifa di Rafah juga menjadi sasaran. 

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan bangga mendabik dada kononnya sudah berjaya membunuh ribuan pejuang Hamas dan memusnahkan rangkaian terowong yang tersembunyi di dasar tanah Gaza. 

BBC Verify berusaha menilai bukti dan mengesahkan maklumat yang diterima di sebalik kenyataan IDF. 

Penganalisis Kanan Hal Ehwal Israel-Palestin di International Crisis Group, Mairav Zonszein berkata, IDF sebenarnya gagal memburu kepemimpinan tertinggi Hamas. 

“Sebenarnya, usaha selama ini hanyalah simbolik untuk mendapatkan pemimpin utama, sedangkan ia adalah sesuatu yang tidak dapat dicapai,” katanya. 

Sebelum serangan 7 Oktober lalu, Hamas dipercayai mempunyai 30,000 pejuang. 

Kebanyakan tokoh politik kanan Hamas seperti Ismail Haniyeh tinggal di negara lain. Namun, pemimpin tentera dipercayai tinggal di Gaza. 

IDF menerusi kenyataan baharu memaklumkan sudah membunuh 13,000 pejuang Hamas sejak serangan tercetus, walaupun tanpa menjelaskan secara terperinci bagaimana kiraan berkenaan dibuat. 

Israel turut menyiarkan nama pemimpin Hamas yang dikatakan sudah dibunuh. Sejak Oktober lalu, sebanyak 113 orang sudah dinamakan dengan majoriti besar dilaporkan maut ketika tiga bulan pertama perang. 

Pada 26 Mac lalu, IDF memaklumkan sudah membunuh Timbalan Komander Sayap Ketenteraan Hamas, Marwan Isa yang merupakan individu paling dikehendaki. 

Amerika Syarikat yakin lelaki itu sudah dibunuh, namun Hamas belum mengesahkan lagi. 

IDF menyiarkan nama individu yang dikatakan pemimpin kanan Hamas yang dibunuh, namun adalah mustahil untuk mengesahkan sama ada mangsa adalah ahli kumpulan pejuang itu. 

Antara individu yang diletakkan dalam senarai itu ialah Mustafa Thuraya yang bekerja sebagai wartawan bebas di selatan Gaza apabila kenderaannya dilanggar Januari lalu. 

BBC turut menemukan dua nama sama berada dalam senarai itu daripada jumlah keseluruhan nama yang disiarkan. Ramai pemimpin terkemuka Hamas termasuk Yahya Sinwar dipercayai masih hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×