PETALING JAYA: Pelakon, Esma Daniel memaklumkan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mendapatkan zuriat bersama isteri, Nur Atira Mazlan.
Bintang filem Sheriff itu bagaimanapun juga tidak menolak sekiranya dia dan pasangannya itu ditakdirkan untuk menimang cahaya mata.
“Kami tak merancang, tapi kalau ada rezeki kami pun tak akan menolak.
“Buat masa ini tenang-tenang dahulu, ekonomi pun tak berapa nak baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Esma mengahwini Nur Atira sekitar Mei tahun lalu namun pasangan itu belum dikurniakan anak.
Aktor itu sebelum ini pernah bergelar suami kepada pelakon Sherie Merlis namun bercerai pada tahun 1997. Mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Esma kemudian berkahwin dengan Nita Sari Omar pada 2002 dan dikurniakan enam anak. Pasangan itu bercerai pada 2016.
Esma dalam pada itu bersyukur kerana selepas kegagalan dua perkahwinan terdahulu, dia masih diberi rezeki untuk mendirikan rumah tangga.
“Kita bila dah berumur kena ada peneman. Lebih-lebih lagi apabila saya mengalami serangan strok sebelum ini.
“Isteri sayalah yang banyak menemani. Saya tak dapat bayangkan keadaan saya kalau dia tiada ketika saya berdepan ujian tersebut,” luahnya.










