KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Hariz Hamdan enggan membazir usia mudanya dengan menjalinkan hubungan istimewa dengan mana-mana wanita buat ketika ini.
Kata pelakon berusia 22 tahun itu, percintaan pada usia muda tidak mendatangkan manfaat dan sepatutnya diganti dengan perkara yang lebih berfaedah.
“Saya sibuk bekerja. Jadual juga agak padat. Untuk tambah beban dengan perkara tidak berfaedah mungkin tidak.
“Umur saya masih muda. Sebaiknya saya laburkan masa yang ada untuk mencari pendapatan dan membina kerjaya lakonan
“Pada pandangan saya, sebagai orang muda, tak perlu bercinta,” kongsinya.

Hariz berkata demikian ketika ditemui pada acara Run With Hariz Hamdan anjuran Asics di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Hariz bagaimanapun tidak menolak perkahwinan dan akan mencari pasangan apabila tiba masanya nanti.
“Saya tak cakap tak akan bercinta. Mungkin belum lagi.
“Tunggulah sampai umur saya meningkat.
“Bila sudah tiba masa yang sesuai, barulah saya tamatkan zaman bujang,” jelasnya.

Bercakap tentang Fun Run yang dianjurkan bersama Asics setiap tahun, Hariz berpandangan aktiviti itu perlu diadakan bagi memupuk setia kawan dan hubungan baik dalam kalangan penggiat industri seni.
“Sejak masuk industri, saya terapkan amalan menjaga hubungan baik sesama rakan industri agar persepsi sikap sombong yang sering dikaitkan dengan artis baru, dapat dikikis.
“Pada masa yang sama, sebagai artis, saya kena bina hubungan baik dengan media. Tak boleh sombong dan berlagak. Sentiasalah merendah diri,” tambahnya.










