Syed Abu Hussin tunggu surat Bersatu   - Utusan Malaysia

Syed Abu Hussin tunggu surat Bersatu  

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan berhubung pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkaitan perlucutan keahliannya yang menyokong kepimpinan kerajaan.

Menurutnya, sehingga kini beliau belum menerima sebarang surat daripada parti berhubung pindaan itu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selasa lalu.

“Saya sebagai ahli parti akan menunggu surat itu terlebih dahulu yang masih belum diterima sehingga kini.

“Selepas meneliti surat itu kita akan mengambil langkah seterusnya berdasarkan kedudukan sebagai ahli yang taat kepada parti,” katanya ketika ditemui di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, di sini hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, selagi belum menerima surat daripada Bersatu, beliau tidak akan memikirkan gesaan dibuat Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkaitan pengosongan kerusi untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Selasa lalu, ROS meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu bagi perlucutan keahlian ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong mana-mana pihak dan bertentangan dengan parti.

Kelulusan itu diperolehi selepas parti berkenaan membuat pindaan melalui Perhimpunan Agung Khas (EGM) pada 2 Mac lalu selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengistiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu terlibat ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×