PETALING JAYA: Bekas pemimpin PKR menganggap parti tersebut kini sudah ‘mati moral’ selepas berkuasa dan mengabaikan janji-janji reformasi.
Bekas Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, parti tersebut hanya menabur janji reformasi tetapi tidak melaksanakan agenda tersebut apabila sudah berkuasa.
Menurutnya, PKR kini sudah terperangkap di dalam kuasa dan hanya fokus untuk kekal berkuasa.
“Apa yang nak diraikan? Selama 25 tahun mereka menjanjikan reformasi. Apabila (sudah) berkuasa, tiada reformasi (dilakukan). Ia hanya alasan.
“Kita yang berjuang dan berisiko untuk dipenjarakan demi memastikan PKR berkuasa, berjuang sia-sia,” katanya menerusi satu ciapan di X.
Surendran yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Serai mengumumkan keluar PKR kerana kecewa dengan parti tersebut yang didakwanya gagal melakukan reformasi. – UTUSAN










