SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 dibatalkan susulan tragedi nahas dua helikopter di Lumut, Manjung.
Pejabat baginda dalam satu kenyataan memberitahu, sambutan tersebut sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, namun dibatalkan dan digantikan dengan majlis bacaan yasin, tahlil serta doa selamat.
“Ia susulan tragedi nahas dua buah helikopter semasa Raptai Perbarisan pagi tadi di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, yang telah mengorbankan nyawa 10 anggota TLDM.
“Sebaliknya, satu majlis bacaan yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan bertempat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut sebelum Solat Jumaat. Baginda selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, dijangka turut berangkat,” katanya, hari ini.
Pembatalan sambutan tersebut dilihat sebagai tanda menghormati pemergian 10 anggota TLDM susulan nahas terbabit.
Terdahulu, baginda berkenan mengutus ucapan takziah terhadap mangsa yang terlibat dalam nahas dua helikopter dekat Pangkalan TLDM Lumut itu pada pukul 9.32 pagi tadi.
Baginda bertitah berasa amat dukacita dengan tragedi tersebut apabila berlaku ketika sambutan ulang tahun angkatan itu yang ke-90 dan ketika umat Islam masih meraikan Syawal.
Sebelum ini, TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter Fennec miliknya terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. – UTUSAN










