Suami kritikal perlu ditidurkan, serah polis kesan pelaku - isteri

Suami kritikal perlu ditidurkan, serah polis kesan pelaku – isteri

MOHD. Shuhaily Mohd Zain bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan gambar saspek berhubung insiden tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, pagi ini, UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri kepada pengawal peribadi Muhammmad Nur Hadith atau lebih dikenali sebagai Along yang ditembak seorang lelaki di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan menangkap pelaku.

Siti Noraida Hassan, 38, memberitahu Utusan Malaysia, dia tidak menyangka panggilan telefon daripada Hospital Cyberjaya kira-kira pukul 2 pagi tadi rupa-rupanya ingin memaklumkan keadaan suaminya ditembak ketika bertugas.

Katanya, dia dan suaminya baru sahaja pulang menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Pahang sebelum suaminya keluar bertugas menjadi pengiring dan pengawal peribadi kepada seorang wanita.

“Kami baru sahaja tiba dari kampung sebelum suami maklum perlu bertugas pukul 11 malam tadi sebelum saya dihubungi pihak hospital memaklumkan keadaanya.

“Saya ingat suami kena serangan darah tinggi kerana penat bertugas tetapi bila dimaklumkan dia ditembak kerana menghalang peluru yang dilepaskan lelaki itu, buat saya terkejut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai keadaan terkini suaminya, suaminya perlu ditidurkan bagi menghentikan pendarahan di perutnya.

Jelasnya, pihak hospital memaklumkan suaminya mengalami pendarahan yang terus sehingga sesak nafas dan perlu ditidurkan bagi melakukan pembedahan pada usus kecilnya.

“Keadaanya agak kritikal dan perlu melakukan pembedahan dalam tempoh 24 atau 48 jam ini. Diharap semuanya dalam keadaan yang baik,” jelasnya.

Kata Siti Noraida, dia dan suaminya mempunyai tiga orang anak masing-masing berusia di antara 13 tahun sehingga 3 bulan.

Jelasnya, suaminya ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan lepas dan pernah mengiringi wanita iaitu isteri suspek ke mahkamah bagi proses perceraian mereka.

“Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat media tempatan dan hanya menjadi pengawal peribadi secara sambilan

“Jika dia berkelapangan dia akan bertugas sebagai pengawal peribadi bergantung kepada tugasan siapa yang perlu dia iring,” ujarnya.

Tambah Siti Noraida juga, tugas suaminya hanya sebagai pengiring atau escort tanpa memegang apa-apa senjata bagi mempertahankan diri.

“Saya serah kepada polis, kita tahu siapa pelaku, harap dia serah diri dan bertanggungjawab apa yang dilakukan,” katanya

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain meminta suspek untuk tampil menyerah diri di mana-mana balai polis terdekat.

Lelaki berkenaan diminta berbuat demikian secara aman dan memberi kerjasama sementara polis giat mengesan suspek.

Polis juga ketika ini melancarkan operasi mengesan selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejak suspek.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN