Situasi Asia Barat: Kerajaan pantau kedudukan pasaran kewangan

Situasi tegang Asia Barat: Kerajaan pantau kedudukan pasaran kewangan Malaysia – PM

PERDANA Menteri mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid Hamidi; Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat. - FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan situasi terkini di rantau Asia Barat dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

Jelas beliau, kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

“Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.

“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat.

Kata Anwar, serangan yang dilancarkan Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.

Jelas beliau, ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini.

“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN