Setiap kerajaan ada tanggungjawab salur peruntukan sama rata - Shahidan - Utusan Malaysia

Setiap kerajaan ada tanggungjawab salur peruntukan sama rata – Shahidan

SHAHIDAN Kassim (empat dari kiri) pada majlis rumah terbuka wanita Perpaduan Ummah Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Setiap kerajaan mempunyai tanggungjawab bagi menyalurkan peruntukan sama rata kepada setiap ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Justeru Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya menyambut baik jika Perdana Menteri atau kerajaan dapat menyalurkan peruntukan berkenaan kepada Ahli Parlimen pembangkang tanpa sebarang syarat.

Katanya, kerajaan yang memerintah seharusnya mengambil tanggungjawab bagi menyalurkan peruntukan sama rata itu.

Selain itu, Shahidan juga meminta agar kerajaan turut menyalurkan tunggakan peruntukan selama dua tahun yang tidak diperolehi Ahli Parlimen pembangkang.

“Kehebatan seseorang pemimpin dapat dilihat apabila dia mampu untuk menunaikan janji-janji dengan sebaiknya.

“Apabila berbicara tentang peruntukan kita tak boleh bezakan dan siapa yang melakukan keadilan pasti akan disokong dengan dasyatnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka wanita Perpaduan Ummah
Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada syarat supaya menyokong beliau sebagai Perdana Menteri apabila kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, syarat menyokong beliau tidak dibincang dalam Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin yang menyaksikan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ujar beliau, perbincangan kelmarin hanya menumpukan kepada kestabilan kerajaan sedia ada di samping menekankan pertumbuhan ekonomi yang mampu menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang

Dalam pada itu, Shahidan berkata, ahli-ahli Parliemn Perikatan Nasional (PN) sememangnya berdepan situasi yang amat sukar apabila tidak mendapat peruntukan berkenaan untuk dibelanjakan kepada rakyat.

“Kami minta keadilan, bukan minta lebih (peruntukan). Kalau kami memerintah, kami tak akan biarkan perkara sebegini berlaku dan akan adil kepada semua,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang melakukan kebaikan akan disokong oleh PN termasuk membabitkan urusan penyaluran peruntukan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN