Seorang daripada perompak laut dikenal pasti - Ketua Polis Negara

Seorang daripada perompak laut dikenal pasti – Ketua Polis Negara

RAZARUDIN Husain dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti seorang daripada perompak laut dipercayai menembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu di perairan Kunak, semalam. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, pihaknya enggan mendedahkan maklumat lanjut suspek tersebut. 

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut membabitkan perompak laut yang mengambil kesempatan ketika musim perayaan. 

“Kita nampak ini adalah keadaan satu kes rompakan laut. Apabila keadaan musim perayaan berlaku, ada yang ulang-alik dari Kunak ke Semporna, mereka mengambil kesempatan merompak bot-bot di laut. 

“Buat masa ini seorang daripada anggota Maritim Malaysia telah menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan peluru dan kini dalam keadaan stabil. Pada awalnya nak letak mata palsu, namun alhamdulillah matanya tidak perlu dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini. 

Media semalam melaporkan dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak, pagi semalam. 

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya menafikan kemungkinan suspek terlibat dengan sebarang kumpulan militan. 

Bagaimanapun, jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN